Friday, September 12, 2008

BENARKAH BLOGGER KURANG AJAR?

Di zaman yang serba canggih ini, kegunaan teknologi bukan saja penting tetapi sentiasa menjadi keperluan dalam kehidupan seharian. Dari membaca berita di akhbar alam maya hinggalah ke kegiatan membeli-belah boleh di lakukan di internet dengan hanya menekan butang. Malahan masyarakat masa kini lebih cenderung dan berani menyuarakan pendapat mereka di dalam laman web. Menyampaikan luahan pendapat di laman web adalah lebih mudah jika dibandingkan menulis komentar secara konvensional. Maka, apabila kebebasan bersuara mula dipraktikkan, lebih banyak forum dan weblog yang tercipta.
Weblog adalah laman web yang direka cipta dengan format yang tertentu, dimana mempunyai entri bertarikh seperti sebuah journal. Dalam erti kata lain, weblog adalah laman web yang sentiasa dikemaskini dengan entri atau artikel bertarikh yang disusun mengikut kronologi. Artikel atau yang disebut sebagai “post” adalah penulisan daripada pemilik blog, berkenaan apa saja isu yang ingin diperkatakan. Boleh dikatakan isu-isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan pergolakan semasa, sama ada dalam bidang politik, sosial, agama mahupun budaya.
Individu yang menulis blog ini dipanggil blogger. Adanya laman web seperti blog ini digunakan sebagai salah satu alat untuk menyampaikan pendapat yang positf mahupun negatif. Namun begitu semakin ramai penulis blogger yang melontarkan perasaan marah dan ketidakpuasan hati mereka di weblog dengan menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya. Mereka menyebarkan fitnah, mencaci,memarahi sesuka hati kepada mana-mana pihak yang dikehendaki dan ada juga yang menyentuh sentimen perkauman. Sugguhpun kebebasan bersuara di benarkan, tetapi melemparkan fitnah dan menghina adalah satu penyalahgunaan.
Pada masa kini, masyarakat kita yang celik IT semakin lantang bersuara dan bertindak kurang ajar didalam blog. Sebagai contoh, isu kontroversi Raja Petra Kamarudin yang menuduh di laman web nya Malaysia Today, tentang kes pembunuhan Altantuya yang ada melibatkan Timbalan Perdana Menteri. Hal ini telah mencetuskan kekecohan dan dia telah ditangkap oleh pihak berkuasa. Perkara ini membuktikan bahawa penulis blog tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan khabar angin yang tidak berasas, kerana ini akan menyusahkan diri sendiri. Malangnya, mereka tetap terus melakukan kegiatan tidak bermoral ini.Apakah masyarakat kita tidak lagi mengamalkan tatatertib orang Timur yang sering kita banggakan? Dimanakah letaknya kesopanan dan peradaban orang Melayu? Padahal, sejak azali lagi orang Melayu tekenal dengan kesopanan dan tatatertib yang baik.
Apa yang menyedihkan, semakin hari semakin banyak weblog yang memaparkan pelbagai jenis artikel yang tidak beretika. Baru-baru ini, terdapat sebuah blog iaitu Kickdefella yang menyarankan supaya bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang, dikibarkan secara terbalik. Penulis blog ini ingin menunjukkan protes kepada pihak kerajaan berkenaan fenomena yang melanda institusi politik negara. Tindakan ini sebagai satu simbolik bahawa negara berada dalam keadaan kucar-kacir. Namun begitu, penulis blog ini telah menerima bantahan yang hebat dari masyarakat dan juga pihak kerajaan kerana artikel nya dianggap biadap dan menghina kewibawaan negara.
Kini dengan dunia bloggers yang semakin bercambah dari permulaan yang kecil sejak sedekad lalu telah memberikan satu cabaran yang hebat, bukan saja kepada media korporat konservatif tetapi juga pihak kerajaan. Internet ataupun weblog telah menjadi suatu perantara alternatif dimana, pihak pembangkang juga turut menggunakannya untuk bersuara. Walaubagaimanpun, bloggers telah banyak kali di beri amaran oleh pelbagai kementerian termasuk Kementerian Keselamatan Dalaman, Kementerian Maklumat dan juga Perdana Menteri sendiri. Mereka menyarankan agar penulis blog mengamalkan “responsible blogging” atau pun bertanggungjawab dalam penulisan blog. Kebanyakkan menteri dan juga masyarakat menyelar para blogger ini sebagai penyebar fitnah, penipu dan penghasut. Disebabkan semakin banyak blogger yang dianggap bertindak kurang ajar, iaitu dengan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar. Maka terdapat cadangan supaya Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 atau Printing Presses and Publication Act 1984 (PPPA), disemak semula dan mengadaptasi kaedah negara China supaya setiap weblog didaftarkan. Walaupun langkah ini tidak berapa diberi penekanan, ini tidak bermakna bloggers bebas untuk menyampaikan berita palsu dan fitnah.
Seperti yang kita sedia maklum, menyebarkan fitnah adalah satu kesalahan yang amat besar sama ada dari segi agama atau pun sosial. Namun begitu semakin ramai bloggers yang suka melakukan sedemikian. Hal ini kerana internet ataupun weblog adalah satu alat yang mudah dan cepat untuk menyampaikan maklumat kepada semua orang. Selain daripada tindakan blogger yang menghina institusi politik negara, terdapat juga blogger yang bertindak menyebarkan gambar ataupun grafik yang tidak bermoral. Sesetengah blogger membuat ubah suai pada gambar asal untuk memalukan sesuatu pihak, contohnya gambar lucah, atau pun aksi-aksi yang mencurigakan.
Berdasarkan kepada weblog yang terdapat di internet kini, ternyata ramai bloogers yang bersikap kurang ajar. Tidakkah mereka berasa takut dengan sistem perundangan negara kita? Natijah daripada tindakan ini akan menyusahkan diri sendiri termasuk keluarga dan juga masyarakat sekeliling. Lihat saja pada kes-kes yang berlaku pada akhir-akhir ini. Contoh terdekat ialah kes Raja Petra Kamarudin, kita dapat lihat bahawa tindakan nya menyebarkan tuduhan dan fitnah telah menyebabkan dia di tangkap dan terpaksa turun naik mahkamah. Semestinya keluarga Raja Petra terpaksa menanggung malu. Apakah dia tidak terfikir akan nasib yang akan menimpa keluarga nya?
Golongan blogger seperti ini tidak pernah memikirkan impak penulisan mereka ke atas diri sendiri keluaraga dan rakyat. Mereka hanya tahu meluahkan perasaan marah dan ketidakpuasan hati mereka yang meluap-luap agar pihak lain mendapat malu. Disebabkan media arus perdana kita di kawal oleh “gatekeeper” dan tertakluk kepada perundangan berkaitan media, maka lebih ramai yang memilih untuk bersuara melalui weblog ataupun internet. Blogger yang bertindak melampau ini fikir bahawa pihak kerajaan tidak dapat mengawal pengaliran maklumat di ruang maya dan menurut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) bahawa tiada sekatan keatas penulisan maya.
Sunguhpun begitu, penulis blog tidak boleh menyalahgunakan kelonggaran ini untuk menyelar orang lain dengan kata-kata atau bahasa yang kesat dan kasar. Namun, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita untuk sentiasa mengkritik apa saja tindakan pihak atasan. Walaupun masyarakat kini sudah pandai menilai setiap pelaksanaan yang dilakukan oleh pihak kerajan, tetapi mereka harus lah menggunakan bahasa dan tatacara yang sesuai untuk mengkritik secara bernas. Dengan penggunaan bahasa kotor termasuk menyebarkan fitnah bukan lah cara orang yang matang, tetapi hanya berfikir menggunakan perasaan.
Oleh itu, kita haruslah ingat bahawa kebebasan bersuara bukanlah bermaksud kita boleh berkata apa saja seperti di dunia barat. Tetapi setiap kebebasan tetap mempunyai batasan nya. Jika kebebasan bersuara ini tidak di dilukis sempadan nya, maka lebih ramai blogger yang akan bertindak untuk mengkritik dan menyebar maklumat salah kepada masyarakat. Justeru itu, tindakan tidak beretika ini harus lah dielakkan kerana setiap perkara buruk yang dilakukan pasti ada balasan nya.